Monday 19 May 2014

Aku Cinta Padamu : Part 17


Aku Cinta Padamu : Part 17

Di bilik tidur utama.

Farah Hanim mengemaskan barang-barangnya lalu keluar dari bilik itu menuju ke bilik tetamu.

“Apa awak buat ni?”, soal Fakhrul Izwan.

“Saya tidur kat bilik tetamu.”

Kecewa Fakhrul Izwan mendengar jawapan Farah Hanim. Isterinya yang baru dikahwini seminggu itu masih berpegang pada syarat yang telah dijanjikan sebelum mereka sah bergelar suami isteri.

Farah Hanim masih memerlukan masa untuk menerima diri Fakhrul Izwan sepenuhnya.

“Tugas zahir sebagai seorang isteri tidak akan saya abaikan. Tapi yang satu lagi , saya harap awak dapat faham saya. Saya perlukan masa.”,  kata Farah Hanim sebelum menutup pintu bilik tidur utama itu.

Fakhrul Izwan baring di atas katil , “Takpelah. Asalkan dia tak keluar dari rumah ni.” Fakhrul Izwan kuat berazam bahawa dia akan cuba untuk menawan hati Farah Hanim perlahan demi perlahan.

Keesokan paginya Farah Hanim mengetuk pintu bilik Fakhrul Izwan untuk menikmati sarapan yang telah disediakan di dapur.

“Awak... sarapan dah siap ni.”

Tiada sahutan.

Farah Hanim cuba membuka pintu bilik utama tersebut , dilihatnya Fakhrul Izwan masih lagi tidur di atas katilnya. ‘Macam penat sangat je... Aku pun penat jugak. Takde la sampai pukul 8 tak bangun-bangun lagi.’, detik hatinya.

Bunyi jam dari telefon bimbit Fakhrul Izwan berbunyi lantas mengejutkan Farah Hanim. Kemudiannya Farah Hanim menutup pintu bilik Fakhrul Izwan lalu turun menuju ke dapur.

Setengah jam kemudian Fakhrul Izwan turun dari anak tangga lalu mencari bayang Farah Hanim di dapur , “Awalnya bangun.”

“Takde lah. Saya baru je turun ni. Duduklah , minum air ni.”, jawab Farah Hanim.

Fakhrul Izwan menurut saja cakap Farah Hanim tidak membantah. “Lena tak tidur semalam?”, soal Fakhrul Izwan.

“Biasa je.”

“Mmmm.”, angguk Fakhrul Izwan.

“Bila nak keluar ni?”, soal Farah Hanim.

“Apa kata kita keluar petang nanti? Kemas barang-barang ni dulu. Tinggal sikit je lagi ni.”, cadang Fakhrul Izwan.

“Mmm okay.”, Farah Hanim setuju.

Selepas sarapan pagi, mereka berdua kembali menyambung aktiviti mengemas rumah. Disebabkan mereka berdua sahaja di dalam rumah tersebut, jadi barang yang masih belum berkemas tinggal sedikit saja lagi.

Farah Hanim terpandangkan sebuah kotak yang berisi buku-buku milik Fakhrul Izwan. Dia segera mendekati kotak tersebut berniat ingin menolong menghantarkannya ke tingkat atas. Namun kudratnya tidak mampu apabila dia cuba mengangkat kotak itu sedikit kemudian dia meletakkannya semula. ‘Beratnya... biar dia ambil sendiri je lah.’, kata hatinya. Kemudian sekeping gambar yang terselit diantara buku-buku tersebut jatuh di atas lantai.

Farah Hanim mengambil gambar tersebut lalu melihatnya. Gambar yang dilihatnya itu dipegang rapi tidak berkelip melihat gambar Fakhrul Izwan bersama dengan seorang perempuan yang wajahnya dirasakan seperti pernah dilihatnya.

Gambar ditangan dirampas oleh Fakhrul Izwan , “Buat apa dengan barang aku ni?”, soal Fakhrul Izwan yang ternyata bengang dengan tindakan Farah Hanim yang cuba menyelongkar barangnya.

Farah Hanim tergamam tidak berkata-kata.

“Aku tak suka orang lain usik barang aku.”, kata Fakhrul Izwan keras kemudiannya mengambil kotak yang berada di hadapan kaki Farah Hanim lalu diangkatnya naik ke tingkat atas.

Farah Hanim berasa hairan kenapa tiba-tiba Fakhrul Izwan memarahinya. ‘Aku bukan buat apa-apa pun. Gambar tu yang jatuh.’ Farah Hanim membiarkan saja Fakhrul Izwan melayani perasaannya.

Petang.

Farah Hanim bersiap-siap selepas menunaikan solat Asar untuk keluar seperti yang dijanjikan oleh Fakhrul Izwan untuk pergi membeli barang keperluan dapur.

Lama dia menunggu Fakhrul Izwan di ruang tamu. ‘Ishhh, takkan sebab tadi dia marah lagi kot?’, detik hati Farah Hanim.

Farah Hanim naik semula ke tingkat atas lalu pintu bilik Fakhrul Izwan diketuk , “Awak, saya dah siap ni. Kata nak keluar beli barang.”

Tiada sahutan.

‘Ihh, kenapa dia ni? Moody bagai.’, geram pula hati Farah Hanim. “Tak nak pergi tak pe lah, saya keluar sendiri eh , boleh tak?”, tanya Farah Hanim ingin meminta keizinan Fakhrul Izwan.

Tidak lama kemudian pintu bilik dibuka , “Jom.”, kata Fakhrul Izwan kemudiannya menarik lengan Farah Hanim menuruni anak tangga.

Di dalam kereta.

“Awak marah ke fasal gambar tadi?”, soal Farah Hanim yang tidak senang hati melihat Fakhrul Izwan mendiamkan diri sepanjang perjalanan.

“Mana ada marah.”

“Tadi tu?”

Fakhrul Izwan terdiam. “Lepas ni, awak jangan usik apa-apa barang milik saya. Saya tak suka.”, pesannya.

Farah Hanim mengangguk , “Tapi, tadi saya tak sengaja. Gambar tu yang jatuh, jadi saya kutip la. Lagipun, takkan sebab gambar tu awak nak marah saya pulak?”

Fakhrul Izwan tidak menjawab soalan Farah Hanim.

Farah Hanim juga tidak memaksa Fakhrul Izwan untuk menjawab pertanyaannya.

Sepanjang masa yang diluangkan semasa membeli-belah , Fakhrul Izwan dan Farah Hanim masing-masing tidak banyak bercakap. Selesai sahaja membeli barang , mereka terus pulang ke rumah. Farah Hanim berkemas-kemas di dapur , dia ingin menegur Fakhrul Izwan tapi dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk hati lelaki. Dia dapat rasakan bahawa Fakhrul Izwan masih lagi menyimpan rasa amarah terhadapnya.

‘Errr.. Aku tak pandai pujuk lah. Macam mana ni?’, Farah Hanim bertanya kepada diri sendiri sambil meletakkan barang-barang yang dibelinya tadi ke tempat yang sepatutnya.

‘Ahh, lantak lah. Bukannya aku buat salah pun. Dia yang tiba-tiba nak marah kenapa pulak.’, putus hati Farah Hanim.

Walaupun malam itu Farah Hanim menyediakan makan malam untuk Fakhrul Izwan , namun Fakhrul Izwan tidak keluar dari biliknya. Farah Hanim menikmati makan malamnya sendirian membiarkan Fakhrul Izwan merajuk seorang diri.

Keesokan paginya sebaik sahaja azan Subuh berkumandang , Farah Hanim dengar pintu biliknya diketuk. Kedengaran suara Fakhrul Izwan memanggil namanya dari luar.

Farah Hanim bangun dari katil lalu menuju ke pintu biliknya.

Hampir luluh jantung Fakhrul Izwan melihat keadaan Farah Hanim yang rambutnya berserebai , “Ingat kan hantu tadi.”, kata Fakhrul Izwan tersenyum.

Farah Hanim yang masih mamai itu tidak berkata apa-apa.

“Solat berjemaah jom. Saya tunggu awak dekat bilik. Cepat tau.”, kata Fakhrul Izwan kemudiannya berlalu pergi.

Farah Hanim menggosok-gosok matanya kemudian mengambil tuala yang tersidai lalu menuju ke pintu bilik air.

Usai solat Subuh berjemaah , Fakhrul Izwan membantu Farah Hanim menyediakan sarapan pagi. 4 keping roti disaluti planta dan satu teko air teh o panas dihidangkan di atas meja.

“Bismillahirrahmanirrahim..”, Fakhrul Izwan melafazkan doa makan dan Farah Hanim pula mengaminkan doa tersebut.

“Lama betul orang tu merajuk semalam.”, tegur Farah Hanim.

“Kalau orang tu pujuk kita, rasanya sekejap je kot dah boleh sejuk. Ni tak, diam je. Buat tak tahu je kat kita.”, luah Fakhrul Izwan.

Farah Hanim mengangkat kening , “Eh, macam budak-budak pulak.”

“Okay saya mintak maaf. Saya tak sepatutnya simpan gambar tu lagi.”, luah Fakhrul Izwan.

“Saya tak fikir apa-apa la fasal tu. Mmm, tapi saya baru teringat. Perempuan dalam gambar tu, Intan kan?”, soal Farah Hanim.

Fakhrul Izwan mengangguk , “Awak pun tahu kami dah putus kan. Nanti saya buang la barang-barang tu.”

Farah Hanim tersenyum , “Take your time okay. Saya tak paksa pun.”

Fakhrul Izwan memandang wajah Farah Hanim , “Awak ni memang sikit pun tak jealous kan? Kalau perempuan lain, mesti dah menangis banjir satu bilik dengan tisu.”

Farah Hanim tergelak kecil , “Kenapa saya perlu rasa jealous? Perkara tu kan dah lepas. Saya hormat privasi dan masa silam awak.”

Fakhrul Izwan angguk menyetujui kenyataan Farah Hanim.

“Anim , start dari besok, saya akan hantar dan ambil awak dari tempat kerja.”, kata Fakhrul Izwan.

“Eh, tak payah la. Saya kan boleh drive sendiri.”, Farah Hanim menolak pelawaan Fakhrul Izwan.

“Tak boleh. Saya kan suami awak, itu tanggungjawab saya. Lagipun, tempat kerja kita bukannya jauh sangat.”

Farah Hanim malas mahu memanjangkan cerita , “Ikut suka lah.”

Pagi itu, masing-masing menjalankan aktiviti membersihkan halaman rumah. Farah Hanim memberi cadangan kepada Fakhrul Izwan bahawa dia ingin menanam beberapa jenis bunga di halaman rumah mereka dan Fakhrul Izwan memberi tanda persetujuan sebaik sahaja Farah Hanim meluahkan hasratnya.

“Anim , boleh tolong ambilkan cangkul kat sana tu?”, pinta Fakhrul Izwan.

Farah Hanim yang sedang mencabut rumput di satu sudut halaman rumah bangun mendapatkan cangkul yang terletak tidak jauh darinya.

“Nah.”

“Terima kasih.”

Farah Hanim melihat baju yang dipakai Fakhrul Izwan kini sudah dibasahi dengan peluh. Kain putih yang tersangkut di poket kiri seluarnya dihulurkan kepada Fakhrul Izwan untuk mengelap peluhnya.

“Nantilah, saya nak buat batas ni.”

Farah Hanim meletakkan kain putih tersebut disangkutkan ke atas leher Fakhrul Izwan. Tindakannya itu membuatkan Fakhrul Izwan tersentak.

“Kejap saya pergi ambilkan air.”, kata Farah Hanim kemudiannya menuju masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.

Fakhrul Izwan memegang dadanya , ‘Ini bukan aku yang nak ngorat dia, tapi dia je yang asyik nak ngorat aku nih.’ Jantungnya berdegup tidak menentu sambil bibirnya tidak lekang mengukirkan senyuman.

Tidak lama kemudian Farah Hanim muncul membawa segelas air masak lalu dihulurkan kepada Fakhrul Izwan , “Minum ni.”

“Terima kasih sayang.”, ucap Fakhrul Izwan sambil mengambil segelas air masak yang dihulurkan kepadanya.

Muka Farah Hanim tiba-tiba sahaja menjadi panas apabila Fakhrul Izwan memanggilnya sayang. “Eh dia ni.”, malu-malu Farah Hanim kemudiannya kembali ke tempatnya untuk mencabut rumput.

Mungkin disebabkan rimas dengan pakaiannya yang basah, tidak lama kemudian Fakhrul Izwan membuka bajunya lalu diletakkan di tepi dinding.

Farah Hanim yang kemudiannya sudah selesai mencabut rumput ingin mendapatkan segelas air masak di dapur , tetapi sebaik sahaja di menoleh ke arah Fakhrul Izwan matanya hampir terbuntang melihat Fakhrul Izwan tidak memakai baju. “Fe.. Fesyen apa ni? Mana baju?”, soalnya gagap.

Fakhrul Izwan yang masih mencangkul tersenyum , “Ada kat situ ha.. panas ni..”

Farah Hanim yang tidak dapat melihat keadaan Fakhrul Izwan yang tidak berbaju masuk ke dalam rumah. Tidak lama kemudian dia keluar sambil ditangannya membawa tuala putih , “Nah.”

“Apa ni?”

“Tuala.”

“Ye la tuala. Awak nak ajak mandi sama-sama ke?”, soal Fakhrul Izwan tersenyum.

Farah Hanim tidak dapat menahan perasaan malunya lagi , “Tutup badan awak tu. Kalau janda sebelah rumah nampak awak macam ni , malu la saya.”, sejurus itu Farah Hanim meninggalkan Fakhrul Izwan di halaman rumah.

“Cakap ajela awak yang malu.”, kata Fakhrul Izwan perlahan kemudiannya tergelak kecil sendirian.

**************************************************************************

Farah Hanim keluar dari biliknya dengan persalinan pakaian yang baru. Kepalanya dibaluti dengan tuala kerana rambutnya dibasahkan semasa dia membersihkan diri di bilik airnya.

“Kata nak mandi sama?”, soal Fakhrul Izwan yang baru sahaja masuk ke dalam rumah.

“Apa awak merepek ni?”, soal Farah Hanim sebal.

Fakhrul Izwan tersengih melihat Farah Hanim yang berasa bengang dengannya.

“Pergi mandi cepat.”, arah Farah Hanim yang kini mengambil tempat duduknya di ruang tamu untuk menonton televisyen.

“Relax la dulu. Panas lagi ni. Bagi badan sejuk dulu.”, balas Fakhrul Izwan.

“Apa-apa jelah.”, balas Farah Hanim mula sambil menekan butang remote televisyen untuk menonton apa-apa rancangan yang disiarkan di kaca televisyen.

Fakhrul Izwan bosan apabila Farah Hanim tidak mahu bersembang dengannya. “Mmm, rasanya lepas ni kena bina balik muscle kat badan ni bagi nampak sasa dan gagah.”

Berdesing telinga Farah Hanim mendengarnya. Dia sangat-sangat tidak menyukai lelaki yang mempunyai badan sasa mengalahkan Mr.Universe atau seumpama dengannya.

Fakhrul Izwan yang perasan Farah Hanim buat muka cuba menegur , “Awak tak suka ke?”

Farah Hanim tidak menjawab pertanyaan Fakhrul Izwan. Khusyuk menonton televisyen , kata hatinya.

“Tapi.. selalunya perempuan memang suka tengok badan lelaki yang sasa kan?”, soal Fakhrul Izwan cuba mengusik.

“Ishh bisinglah. Orang nak tengok tv ni.”

Fakhrul Izwan tersengih. Dia bangun duduk di hadapan Farah Hanim sekaligus menghalang pemandangan Farah Hanim yang sedang menonton rancangan di televisyen.

“Tepi lah. Orang nak tengok tv ni.”

Fakhrul Izwan kemudiannya membuka tuala yang berbalut di kepala Farah Hanim membiarkan rambut basah Farah Hanim jatuh. Perbuatan Fakhrul Izwan membuatkan Farah Hanim terdiam kaku tidak tahu untuk berbuat apa-apa.

“Awak lebih cantik kalau macam ni. Nampak kelakar la kalau pakai ‘tanjak’ dekat atas kepala tu.”, kata Fakhrul Izwan kemudiannya berlalu pergi menuju ke tangga.

Jantung Farah Hanim kembali berdegup kencang. Tindakan Fakhrul Izwan betul-betul membuatkan dirinya tidak dapat bernafas dengan lancar.

**************************************************************************

Keesokan paginya , selepas sarapan pagi Fakhrul Izwan dan Farah Hanim sama-sama bergerak menuju ke tempat kerja masing-masing.

“Nanti saya datang ambil awak, kita lunch sama-sama nak?”, Fakhrul Izwan bertanya kepada Farah Hanim.

Farah Hanim memandang wajah Fakhrul Izwan , “Saya rasa saya busy lah harini. Rasanya tak keluar lunch kot.”

Fakhrul Izwan kecewa sedikit , “Tapi kan awak kena makan. Mana boleh skip makan.”

“Takpe. Nanti saya mintak tolong dekat Mai belikan saya makanan.”

“Awak tak nak lunch dengan saya eh?”

“Apa awak ni. Saya kan busy , dah lama cuti mesti kerja melambak dekat office. Next time kan boleh lunch sama-sama.”, jelas Farah Hanim.

Kereta Nissan yang berwarna metalik diberhentikan di hadapan bangunan tempat Farah Hanim bekerja. Farah Hanim keluar dari perut kereta sambil diperhatikan Fakhrul Izwan.

Farah Hanim berjalan menuju ke arah Fakhrul Izwan yang duduk di dalam kereta , “Lupa pulak nak salam.”, kata Farah Hanim menghulurkan tangannya.

Fakhrul Izwan yang terkejut sedikit dengan tindakan Farah Hanim menghulurkan saja tangannya kepada Farah Hanim. Tangan lelaki itu diciumnya lembut sebelum memulakan langkahnya masuk ke dalam bangunan MB-Holdings.

Hati Fakhrul Izwan tersangkut lagi. Makin banyak kejutan kecil yang diterimanya dari Farah Hanim. Mungkin pada pandangan mata orang lain, hal itu adalah menjadi kebiasaan , tapi tidak baginya yang baru sahaja bergelar suami.

bersambung..

p/s : Tinggal beberapa minggu je lagi dah nak balik ke kampus life.. hmm

3 comments:

Yayaya Kim said...

Ainur tag awak :D
http://impossibletothinknow.blogspot.com/2014/05/1st-mini-giveaway-by-atikah-aziz.html

Anizz Annisa said...

makin syok nie cite nie.. hadoiiiyaiii... feeling dh nie..hihi... ehem.. nia budak u ke poli? heheh..gud luck!

Unknown said...

Erk.. tulis sendiri ke? hebatnya..